KULIM – Dua pemuda termasuk seorang pelajar politeknik ditemukan mati lemas dalam dua kejadian berasingan di Sungai Sedim di sini dan sungai Kampung Pokok Tai Lama, Pendang hari ini.
Dalam kejadian di Sungai Sedim, seorang pelajar politeknik berusia 20 tahun lemas ketika mandi bersama dua rakannya kira-kira pukul 3 petang.
Mangsa yang berasal dari Putrajaya dipercayai dihanyutkan arus deras di kawasan sungai dikenali sebagai Lubuk Buluh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Tengku Mohd. Faisal Tengku Yeng berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya pergi ke kawasan rekreasi itu untuk mandi-manda.
“Ketika mangsa mandi bersama dua rakannya, mereka dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam.
“Bagaimanapun, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sebelum salah seorang daripada mereka turun semula ke sungai untuk menyelamatkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa ditemukan kira-kira 10 meter dari lokasi awal dia mandi sebelum dibawa naik ke tebing sungai oleh rakannya.
“Pegawai perubatan Hospital Kulim yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














