KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search tidak pernah mengejar sebarang gelaran termasuk Raja Rock Negara selepas lebih lima dekad berkecimpung dalam dunia muzik.
Menurut Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 68, sebagai insan seni, beliau hanya mahu berkarya dengan penuh kejujuran dan kerja keras.
“Pertamanya saya ucapkan terima kasih atas gelaran diberikan tetapi sejujurnya saya tidak pernah rasa seperti itu.
“Saya hanya buat kerja sejujur mungkin. Selebihnya kalau orang luar hendak beri gelaran itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Tambah pelantun lagu Isabella itu lagi, apa yang lebih penting adalah keikhlasan dalam berkarya dan bukannya pengiktirafan atau status tertentu.
“Saya hanya mahu berkarya dan selagi jalan itu ada — saya akan terus menyanyi. Selebihnya biar peminat yang menilai,” ujarnya.
Terdahulu, nama Amy diangkat Awie sebagai individu paling layak memegang gelaran Raja Rock Negara kerana menjadi antara individu terawal memperjuangkan irama rock tempatan.
Malah, Awie turut menganggap Amy sebagai ‘godfather’ muzik rock negara atas pengaruh besar yang dibawanya dalam industri hiburan tanah air.
Mengulas lanjut, Amy berkata, setiap anak seni mempunyai perjalanan dan impian tersendiri tanpa perlu bersaing merebut gelaran.
“Saya tidak pernah fikir siapa lebih sesuai. Dalam seni ini (status) bukan perlumbaan. Apa yang kita buat itu adalah impian kita,” katanya yang bakal muncul dengan tiga single baharu.
Sementara itu, Amy mengakui lebih selesa melihat nama Ramli Sarip sebagai ikon besar rock tempatan memandangkan penyanyi tersebut jauh lebih senior dan banyak berjasa kepada industri seni.
Dalam perkembangan lain, Amy bakal muncul dalam filem komedi, 5 Bomoh yang akan ditayangkan di pawagam bermula 4 Jun ini.
Selain Amy, filem 5 Bomoh turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Khairy Jamaluddin, Ozlynn, ,Scha Alyahya, Aedy Ashraf, Johan, Ungku Aziz dan Tiara Suraya Rose. – KOSMO! ONLINE














