KUALA PILAH – Semua jenis aktiviti di Taman Eko Rimba Ulu Bendul di sini tidak akan dijalankan ekoran kawasan rekreasi itu ditutup sehingga 24 Mei ini untuk kerja-kerja sanitasi, pembersihan dan pemantauan kualiti air daripada penyakit kencing tikus.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah menerima dua notifikasi kes kencing tikus di mana kesemua kes mempunyai sejarah pergi ke taman rekreasi itu pada 1 Mei lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut, orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada.
“Sebelum ini, pernah berlaku insiden serupa di situ dan kami berharap pengunjung dapat mengambil berat penjagaan kawasan tersebut ketika berkelah terutamanya membabitkan sisa makanan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd. Yussainy, sisa makanan yang tidak dibuang dengan baik bakal menarik kehadiran haiwan perosak berkenaan seterusnya mengundang penyakit kencing tikus.
Difahamkan, mangsa merupakan tiga beradik perempuan berusia empat hingga 10 tahun yang datang bersama keluarga ke lokasi tercemar pada cuti hari pekerja 1 Mei lalu.
Salah seorang mangsa mula mempunyai gejala demam, menggigil, sakit sendi, sakit abdomen, loya, muntah dan cirit-birit pada 4 Mei lalu.-KOSMO! ONLINE.














