PONTIAN – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di sini ditutup secara rasmi pada pukul 12 tengah hari semalam selepas beroperasi selama 12 hari sejak 3 Mei lalu susulan kejadian ribut yang melanda Kampung Melayu Raya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pontian berkata, seramai 52 mangsa daripada 14 keluarga merupakan penghuni terakhir yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Menurutnya, kesemua mangsa kini berpindah ke rumah sewa sementara atau rumah sewa tetap sementara kediaman mereka yang rosak sedang dibaik pulih oleh pemilik masing-masing.
“Kerajaan Negeri Johor turut meluluskan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga untuk bayaran rumah sewa selama tiga bulan kepada mangsa ribut di Kampung Melayu Raya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan menerusi Tabung Bencana Negeri Johor (TBNJ) itu diharap dapat meringankan beban kewangan mangsa untuk menyewa kediaman baharu.
Dalam kejadian ribut yang berlaku di Jalan Rezab 1 pada petang 3 Mei lalu, sebanyak 23 buah rumah mengalami kerosakan teruk apabila bumbung diterbangkan angin kencang selain turut menjejaskan lima rumah persendirian dan sebuah pusat tahfiz.
PPS SK Melayu Raya dibuka pada pukul 6 petang hari kejadian bagi menempatkan mangsa terlibat.-KOSMO! ONLINE














