fbpx
Antara ayam sabung yang dirampas oleh pihak berkuasa dalam Op Taring Sangkar, hari ini.

Ayam sabung baka luar negara bernilai lebih RM500,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan menyimpan ayam sabung dipercayai baka luar negara tanpa lesen sah terbongkar selepas dua premis di Batu 7, Jalan Airport, Sandakan, Sabah diserbu dalam Op Taring Sangkar, hari ini.

Serbuan dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Veterinar Sabah daerah Sandakan kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi itu berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang pemegang kad sementara yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi menemui 87 ekor ayam dipercayai ayam sabung selain pelbagai peralatan dan ubat-ubatan berkaitan.

“Serbuan di lokasi pertama membawa kepada rampasan 18 ekor ayam disyaki ayam sabung, tiga sangkar ayam, sarung pelindung taji ayam, vitamin dan patung ayam palsu.

“Di lokasi kedua pula, sebanyak 69 ekor ayam disyaki ayam sabung ditemukan bersama beberapa sangkar, sarung pelindung taji ayam, picagari serta pelbagai jenis ubat dan vitamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua premis itu tidak memiliki lesen sah berkaitan penyimpanan ayam sabung yang dipercayai diimport dari luar negara.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua lokasi adalah sebanyak RM529,245.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Sabah,” katanya.

Tambah beliau, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut.

“Operasi ini dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram berkaitan ayam sabung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN