fbpx
HAKIM Danish menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 terbaik di GP Perancis, hari ini. -ZK RACING

Hakim Danish P10 di Le Mans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keadaan cuaca tidak menentu dan permukaan litar yang basah ternyata memberikan cabaran besar buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans, hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu bagaimanapun berjaya mengharungi perlumbaan penuh mencabar tersebut sebelum menamatkan saingan di kedudukan ke-10.

Bermula dari petak ke-12, Hakim Danish dilihat tidak mengambil risiko berlebihan terutama selepas beberapa pelumba di hadapannya terjatuh akibat keadaan litar yang cukup licin.

Pendekatan berhati-hati itu nyata berbaloi apabila pelumba muda negara tersebut berjaya membawa pulang enam mata berharga sekali gus menyamai pencapaian terbaiknya musim ini.

Walaupun tidak mampu memberi cabaran kepada kelompok podium, Hakim Danish tetap mengekalkan rentak konsisten untuk terus bersaing dalam kelompok pungutan mata bersama pelumba elit dunia.

Sebanyak lapan pelumba gagal menamatkan perlumbaan susulan keadaan litar yang berbahaya, namun Hakim Danish berjaya mengelak sebarang insiden untuk menamatkan saingan dengan selamat.

Pelumba CFMOTO Valresa Aspar Team, Maximo Quiles menjuarai perlumbaan tersebut dan Adrian Fernandez dari pasukan Leopard Racing di tempat kedua, manakala pelumba Itali, Matteo Bertelle (LEVEL UP – MTA) melengkapkan kedudukan podium.

Keputusan di Le Mans menyaksikan Hakim Danish kini mengumpul keseluruhan 18 mata selepas empat pusingan sekali gus meletakkannya di tangga ke-15 carta kedudukan pelumba Moto3 dunia.

Sebagai rekod, pencapaian terbaiknya musim ini hadir menerusi kedudukan ke-10 di GP Brazil pada Mac selain menamatkan GP Amerika Syarikat dan GP Sepanyol di tempat ke-13. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN