KUALA LUMPUR – Impian pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk bangkit mengutip mata di Grand Prix (GP) Hungary tidak kesampaian apabila terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas terbabit dalam kemalangan seawal pusingan pertama, hari ini.
Hakim Danish yang memulakan perlumbaan dari petak ke-19 cuba mencari ruang untuk berada dalam kelompok hadapan, namun nasib tidak menyebelahinya apabila terbabit dalam insiden pelanggaran di kelompok tengah.
Pelumba pasukan AEON Credit-MSi itu terjatuh di selekoh 5 selepas berlaku sentuhan dengan pelumba CODE Motorsports, Ruche Moodley, sekali gus menyaksikan perlumbaannya berakhir lebih awal tanpa sebarang mata.
Keputusan itu tentunya mengecewakan kem negara memandangkan pelumba berusia 19 tahun itu hadir ke Hungary dengan keyakinan tinggi selepas mencipta podium sulung kariernya dalam saingan Moto3 di GP Itali minggu lalu.
Di Litar Mugello, Hakim Danish mencuri tumpuan apabila memulakan perlumbaan dari petak utama sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga, sekali gus menghadiahkan podium pertama buat dirinya di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.
Selepas kekecewaan di Hungary, pelumba kelahiran Terengganu itu kini mengalihkan fokus menjelang perlumbaan GP Republik Czech di Litar Automotodrom Brno yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini, dengan misi kembali mengutip mata kejuaraan.
Perlumbaan di Hungary dimenangi pelumba Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team dan pelumba LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP, David Almansa yang bermula dari petak utama menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga. -KOSMO! ONLINE














