KEJAYAAN Hakim Danish Ramli menjuarai Grand Prix (GP) Republik Czech dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 bukan sekadar kemenangan bersejarah buat sukan permotoran negara.
Lebih penting, kejayaan itu membuktikan Malaysia sebenarnya memiliki formula yang tepat untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia menerusi program pembangunan yang tersusun dan berterusan.
Ramai melihat kejayaan di Litar Brno sebagai pencapaian individu, namun hakikatnya ia adalah hasil pelaburan jangka panjang yang bermula sejak kecil.
Hakim Danish bukan muncul secara tiba-tiba di pentas dunia, sebaliknya pelumba kelahiran Terengganu itu melalui setiap fasa pembangunan yang dirancang secara sistematik bermula daripada MiniGP, Asian Talent Cup, JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup sebelum Moto3.
Lebih membanggakan, kemenangan tersebut hadir pada musim pertama Hakim Danish di Moto3, sekali gus membuktikan pelumba Malaysia mampu bersaing dengan bintang terbaik dunia apabila diberikan laluan pembangunan yang betul.
Kejayaan itu juga mengesahkan usaha bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang membangunkan MiniGP Malaysia sejak tujuh tahun lalu sebelum dijenamakan semula sebagai Motomini Malaysia.
Menurut Zulfahmi, kemenangan Hakim Danish bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pengorbanan dan kerjasama ramai pihak yang percaya kepada program pembangunan tersebut sejak hari pertama.
“Alhamdulillah, ini satu pencapaian hasil pengorbanan yang sangat besar daripada semua pihak seperti penaja, ibu bapa dan pasukan yang sentiasa bersama saya.
“Kejayaan Hakim Danish hari ini bukan sekadar nasib. Dia berlumba dalam keadaan yang sama seperti pelumba lain. Ini menunjukkan program pembangunan yang kita usahakan benar-benar berjaya,” katanya.
Tambah Zulfahmi, seseorang pelumba memerlukan latihan yang sistematik, pendedahan antarabangsa, sokongan kewangan serta laluan pembangunan yang jelas untuk memastikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Hakim Danish bukan satu-satunya produk yang lahir daripada sistem itu. Qabil Irfan Azlan, 14, turut melalui laluan sama dan sedang mencipta nama di pentas antarabangsa selepas muncul juara ESBK di Sepanyol tahun lalu selain bersaing dalam Moto4 European Cup dan Moto4 Asia musim ini.
Perkembangan itu membuktikan Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat dalam sukan permotoran. Apa yang diperlukan adalah kesinambungan program pembangunan yang stabil bagi memastikan bakat muda terus digilap dan diketengahkan untuk menetap di pentas Eropah.
Malah, Zulfahmi percaya masih ramai pelumba muda yang berpotensi mengikut jejak langkah Hakim Danish sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.
“Selepas tujuh tahun program MiniGP (kini Motomini Malaysia) dijalankan, akhirnya kita dapat melihat hasilnya apabila Hakim Danish muncul pemenang Grand Prix.
“Dengan sokongan kukuh dan penajaan yang berterusan, kita mampu meletakkan pelumba Malaysia di kedudukan yang sepatutnya. Tanpa penajaan, amat sukar untuk pasukan kecil dari Asia Tenggara bersaing dengan pasukan serta pelumba Eropah.
“Apa yang penting, kejayaan Hakim Danish kini menjadi inspirasi kepada pelumba-pelumba cilik yang sedang bersaing dalam Motomini Malaysia. Saya berharap kejayaan ini membuka mata lebih banyak syarikat korporat untuk bersama-sama menyokong pembangunan sukan permotoran negara,” katanya.
Bagi penulis, mesej paling besar daripada kemenangan di Brno bukan sekadar kejayaan seorang pelumba meraih kemenangan sulung di pentas Moto3. Sebaliknya, ia membuktikan bahawa apabila bakat digabungkan dengan sistem pembangunan yang betul, sokongan kewangan yang mencukupi dan perancangan jangka panjang yang jelas, Malaysia mampu melahirkan juara dunia.
Hakim Danish sudah membuktikannya, kini cabaran sebenar adalah memastikan beliau bukan pelumba terakhir yang lahir daripada sistem pembangunan yang telah terbukti berjaya ini.
Habis














