PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad untuk kembali mengutip mata pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Automotodrom Brno pada hujung minggu ini selepas nasib tidak menyebelahinya pada pusingan lalu di Hungary.
Pada perlumbaan di Balaton Park, Hakim Danish terpaksa menamatkan saingan lebih awal selepas dirempuh pelumba lain dari arah belakang ketika sedang bersaing dalam kelompok pungutan mata.
Bagaimanapun, insiden itu tidak mematahkan semangat pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi tersebut yang kini mengalihkan sepenuh fokus kepada cabaran di Brno bagi memburu kebangkitan pada pusingan kesembilan musim ini.
Hakim Danish mengakui banyak pengajaran diperoleh daripada perlumbaan di Hungary dan percaya pengalaman tersebut mampu membantunya tampil lebih matang serta bersedia menghadapi cabaran yang menanti di Rep. Czech.
“Persiapan saya menjelang perlumbaan di Brno berjalan dengan baik. Saya meneruskan program latihan seperti biasa di Sepanyol dan saya sangat teruja untuk berlumba di Brno buat kali pertama dalam karier perlumbaan saya.
“Fokus saya adalah untuk terus bekerja dari sesi sesi latihan pertama dan membina keyakinan secara berperingkat dalam setiap sesi di litar. Brno merupakan litar baharu bagi saya, jadi antara keutamaan adalah memahami karakter litar secepat mungkin dan mendapatkan rentak yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya Brno mampu menjadi litar yang sesuai dengan gaya tunggangan Hakim Danish berdasarkan karakter trek yang pantas dan teknikal.














