fbpx
PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish ungguli sesi latihan Grand Prix Republik Czech, hari ini.

Moto3: Hakim Danish pecah rekod di Brno dua kali, tembus ke Q2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selepas kekecewaan di Hungary dua minggu lalu, Hakim Danish Ramli bangkit dengan mencipta rekod terpantas sepanjang zaman dengan catatan masa 2 minit 04.754 saat pada sesi latihan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech, hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu tampil cukup garang apabila muncul pelumba terpantas keseluruhan sekali gus mengesahkan tempat automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) yang akan berlangsung esok.

Lebih membanggakan, Hakim Danish memecahkan rekod litar berkenaan sebanyak dua kali dalam tempoh sehari apabila mencatat masa 2:04.938 saat pada sesi latihan bebas pertama (FP1) sebelum sekali lagi memperbaharui rekod itu kepada 2:04.754 saat pada sesi latihan.

Catatan tersebut meletakkan pelumba muda negara itu di hadapan pencabar terdekat dari Sepanyol, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) yang mencatat masa 2:04.944 saat, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) melengkapkan kelompok tiga terpantas dengan masa 2:05.013 saat.

“Saya memang menikmati tunggangan di Litar Brno kerana susun atur litar ini mempunyai banyak selekoh laju dan selekoh panjang yang memerlukan kelajuan tinggi ketika memasuki dan keluar dari selekoh.

“Selain itu, saya juga sangat selesa dengan tetapan jentera yang disediakan pasukan. Setiap kali keluar ke litar, pasukan sentiasa melakukan penambahbaikan dan ia membuatkan saya semakin yakin untuk menolak had kemampuan saya.

“Keyakinan itu membantu saya mencatat masa yang baik hari ini dan mempunyai keyakinan penuh pada jentera hari ini. Bagaimanapun, tugas kami masih belum selesai. Saya perlu terus fokus dan bekerja lebih keras kerana saya percaya ramai pelumba lain akan meningkatkan catatan masa mereka esok.

“Masih ada beberapa aspek yang boleh saya perbaiki dan saya mahu menggunakan setiap sesi yang ada untuk terus meningkatkan prestasi. Harapan saya adalah untuk memberikan yang terbaik sekali lagi esok,” katanya.

Sejak awal sesi di Brno, pelumba kelahiran Terengganu itu menunjukkan keserasian tinggi bersama jenteranya selain pantas menyesuaikan diri dengan karakter litar itu walaupun kali pertama berlumba di trek tersebut.

Prestasi memberangsangkan itu menjadi penawar terbaik buat Hakim selepas kecewa pada GP Hungary apabila perlumbaannya musnah akibat dirempuh pelumba lain ketika sedang memburu keputusan positif.

Hakim Danish kini dilihat berada pada landasan terbaik untuk memburu petak hadapan pada sesi kelayakan esok sebelum meneruskan misi menambah kutipan mata berharga pada perlumbaan utama GP Republik Czech, Ahad ini.

Ketika ini, pelumba berusia 19 tahun itu mengumpul 48 mata dalam carta  kedudukan Kejuaraan Dunia Moto3 musim ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN