fbpx
Gambar hiasan.

Peniaga rugi RM86,735 diperdaya tender pembekalan sekolah palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kedai perkakasan kerugian RM86,735 akibat diperdaya tender pembekalan jubin lantai serta kerusi dan meja kantin sekolah yang tidak wujud.

Lelaki berusia 54 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, premis perniagaan peniaga tersebut yang terletak di bandar raya ini telah dikunjungi seorang lelaki mendakwa kononnya seorang guru pada pukul 12 tengah hari, 30 April lalu.

“Suspek mendakwa mahu menempah jubin lantai kononnya untuk kegunaan sekolah menengahnya yang terletak di Marang.

“Dia juga mendakwa mahu menempah 45 set meja dan kerusi kantin sekolah yang dianggarkan bernilai RM122,450,” katanya di sini semalam.

Azli berkata, suspek turut mencadangkan syarikat pembekal set meja dan kerusi kantin terbabit kepada peniaga berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan rundingan, mangsa bersetuju membayar RM86,735 kepada syarikat pembekalan berkenaan bagi penyediaan set meja dan kerusi kantin terbabit.

“Pembayaran tersebut dilakukan menerusi dua transaksi ke dalam akaun bank diberikan pada Rabu dan Khamis lalu sebelum tempahan pembekalan tersebut dinafikan pengurusan sekolah terlibat pada semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN