LIPIS – Peniaga durian di daerah ini mengakui mereka tetap meraih untung sekalipun harga musang king terpaksa dijual murah susulan lambakan raja buah itu di pasaran tempatan
Seorang peniaga, Ah Chin berkata, dia memilih untuk membuat jualan tanpa timbang bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati keenakan rasa musang king.
“Untung tetap ada, saya hanya kurangkan margin keuntungan supaya semua boleh makan musang king. Sebenarnya, ramai yang teringin makan buah ini, tetapi bila tengok harga ikut kilogram, mereka mula berfikir dua tiga kali.
“Sebab itu saya jual secara biji. Pelanggan boleh terus kira kos yang perlu dibayar tanpa perlu risau melihat jumlah timbangan,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini semalam.
Ah Chin berkata, durian musang king dijual pada harga RM5 dan RM10 sebiji mengikut saiz dan gred, manakala buah yang lebih besar ditawarkan pada harga RM50 untuk tiga biji.
Menurutnya, selain musang king, dia turut menjual beberapa varieti premium lain seperti IOI, Black Thorn, Tekka dan durian kampung bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
Jelasnya lagi, harga rendah itu dapat ditawarkan kerana semua buah yang dijual diperoleh daripada kebun miliknya sendiri di Kampung Tanjung Lipis, sekali gus mengurangkan kos pembelian daripada pembekal luar.
Bagi seorang pekebun durian, Waikian Chin, 40, setiap hari dia menjual durian segar yang gugur terus dari kebun tanpa disimpan lama bagi memastikan kualiti terbaik kepada pelanggan.
Dia yang memiliki kebun durian seluas kira-kira 1.2 hektar di Kampung Rengai di sini berkata, hasil yang banyak pada musim ini membolehkannya mengekalkan harga rendah sambil masih memperoleh keuntungan.
“Untung tetap ada walaupun tidak besar. Yang penting buah habis terjual dan pelanggan gembira.
“Bila jual secara biji, pelanggan lebih yakin untuk membeli kerana mereka tahu berapa yang perlu dibayar mengikut bajet masing-masing. Mereka pun terkejut apabila musang king boleh dibeli pada harga serendah ini.
“Selagi musim masih ada dan hasil kebun mengizinkan, saya akan terus jual pada harga mampu milik sehingga penghujung musim sekitar Ogos nanti,” katanya
















