fbpx
Mohd. Zuhairi (kiri) menunjukkan buah durian jenis Musang King yang dijual di kedainya di Bandar Utama, Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

4.5 tan durian ‘licin’ dijual setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Musim durian memberi limpahan rezeki buat peniaga di Bandar Utama di sini apabila jualan ‘raja buah’ itu mampu mencecah sehingga 4.5 tan setiap hari.

Mohd. Zuhairi Hashim, 34, berkata, permintaan terhadap pelbagai jenis durian termasuk musang king, duri hitam, IOI dan kampung meningkat mendadak sejak kebelakangan ini menyumbang kepada jualan luar biasa.

Katanya, penurunan harga durian pada musim ini turut menjadi faktor utama peningkatan jualan dan menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Bekalan durian yang banyak tahun ini membolehkan orang ramai menikmati durian premium atau ‘durian kayangan’ pada harga mampu milik iaitu di bawah RM20 sekilogram.

“Lambakan buah durian tahun ini membolehkan pelanggan boleh membeli durian kayangan seperti Musang King, Duri Hitam dan IO. Harga durian Musang King di kedai saya dijual pada harga RM8 sehingga RM19 sekilogram, manakala durian kampung pula RM3.50 sekilogram. Setiap hari bekalan durian yang ­diambil terus dari kebun di Batu Kurau, Perak habis,” ­katanya.

Seorang lagi peniaga durian, Kweh Tieok Eng, 66, berkata, jualan durian tahun ini memberi rezeki buatnya apabila 100 hingga 200 kilogram buah durian dibeli pelanggan setiap hari.

“Saya guna Facebook untuk hebahkan harga dan jenis durian yang ada setiap hari menyebabkan ramai yang tahu dan datang ke gerai.

“Usaha itu berhasil apabila bukan sahaja pelanggan tempatan tetapi ada pengunjung dari luar daerah termasuk Kuala Lumpur singgah membeli durian di gerai.

“Harga yang ditawarkan menjadi tarikan utama apabila saya ada menjual durian Musang King serendah RM5 sekilogram, namun kualitinya agak rendah dan lebih sesuai dijadikan tempoyak,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Imran Nawawi, 49, berkata, penurunan harga tersebut amat dinantikan kerana sebelum ini kebanyakan pelanggan hanya mampu membeli durian gred rendah.

Katanya, harga durian yang jauh lebih murah berbanding beberapa minggu lalu memboleh­kan orang ramai menikmati durian premium seperti musang king.

“Sebelum ini saya makan durian di Raub, Pahang kira-kira dua minggu lepas dengan harga mencecah RM35 sekilogram ­kerana bekalan masih terhad.

“Masa itu harga tiga biji durian hampir RM200. Sekarang harga sekitar RM10 sekilogram untuk musang king, memang berbaloi dan orang ramai boleh makan dengan puas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN