JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah drastik dengan menitikberatkan isu keselamatan di sekolah dan isu kesihatan mental pelajar susulan insiden pelajar jatuh dari bangunan sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan pengurusan sekolah selamat dan polisi perlindungan murid yang ditambah baik wajib dilaksanakan oleh semua pentadbir sekolah tanpa sebarang kompromi.
Katanya, selain garis panduan dan polisi yang dilancarkan kementerian, dua minggu lalu, intervensi melalui saringan kesihatan mental pelajar juga turut diaksanakan.
“Fakta kes berbeza untuk setiap kes yang berlaku. Tetapi, kita telah mengambil langkah drastik dan melihat keseluruhan isu ini.
“Isu kesihatan mental juga menjadi keutamaan kita ketika ini, pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah juga kita berikan perhatian dan jika ada saja tanda-tanda ini (masalah psikologi), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya.
Fadhlina diminta mengulas mengenai beberapa insiden pelajar yang jatuh daripada bangunan sekolah sehingga menyebabkan kematian yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, termasuk kes terbaharu yang berlaku di Ipoh, Perak, semalam.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Jalan Yahya Awal di sini, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan turut dihadiri, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Menurut Fadhlina, semua pentadbir sekolah diingatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan di peringkat sekolah, khususnya keselamatan pelajar.
Beliau turut meminta ibu bapa untuk bersama mendukung isu kesihatan mental ini dengan memerhati keadaan anak-anak mereka dan mengambil langkah-langkah intervensi bagi memastikan bahawa isu kesihatan mental ini sentiasa diberikan keutamaan.
“Kita juga komited untuk memastikan isu-isu yang terkait dengan keselamatan ini terus diberikan keutamaan.
“Jadi, langkah-langkah itu telah kita peringatkan dari semasa ke semasa dan kita harap ini juga dipantau oleh semua pihak dan komuniti yang terkait dengan sekolah supaya dapat mengingatkan antara satu sama lain dan pelajar juga mesti diingatkan dari setiap hari tentang keselamatan sekolah ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














