fbpx
Faizal (dua dari kanan) dan Sharudin (lima dari kiri) bergambar bersama hadiah kemenangan diterima SMK Sanglang, Perlis pada Majlis Penyampaian Anugerah AIA Healthiest Schools di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SMK Sanglang ‘sekolah menengah tersihat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di sebuah sekolah yang terletak di utara tanah air, sekumpulan pelajar menanam benih dengan harapan yang lebih besar daripada sekadar melihat pokok membesar.

Bagi mereka, setiap usaha yang dicurahkan bukan sahaja tentang hasil tuaian, tetapi juga mengenai pembelajaran, kesihatan dan masa depan yang lebih mampan.

Usaha itulah yang akhirnya membawa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Perlis muncul sebagai juara kategori sekolah menengah dalam sebuah program kesihatan sekolah, AIA Healthiest Schools tahun ini dan membawa pulang wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM42,000).

Mengusahakan projek tanaman harumanis dinamakan Harumanis Mango Cultivation Project’, projek yang dikendalikan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu menyediakan pendidikan inklusif dan latihan kemahiran holistik untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Impaknya memberikan manfaat dari sudut kesihatan dan kesejahteraan kepada para pelajar berkeperluan khas atau lembam terlibat.

Untuk makluman, kategori sekolah rendah pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Manir di Terengganu yang muncul dengan inisiatif ‘Sihat Aktif Manirian (S.A.M)’ iaitu program berasaskan data di peringkat sekolah yang dibangunkan bagi menangani peningkatan tahap indeks jisim badan (BMI) serta gaya hidup tidak aktif dalam kalangan 658 murid sekolah berkenaan.

Inisiatif ini memupuk rutin harian yang sihat secara kendiri dengan sokongan guru, ibu bapa serta penggunaan alatan digital, sekaligus menggalakkan murid bertanggungjawab terhadap kesihatan diri melalui amalan harian yang konsisten.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, program berkenaan terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima 143 penyertaan daripada sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 18 sekolah berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas membentangkan pelbagai projek dan inisiatif yang memfokuskan kepada empat teras utama pertandingan iaitu pemakanan sihat, gaya hidup, kesejahteraan serta kelestarian.

Lebih daripada sebuah pertandingan, program itu menjadi platform untuk pelajar dan guru menterjemahkan idea kepada tindakan sebenar, sekali gus membuktikan bahawa perubahan positif boleh bermula dari persekitaran sekolah.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang muncul juara menerusi projek ‘Harumanis Mango Cultivation Project’ yang dikendalikan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah itu. Ia menyediakan pelajar dengan kemahiran praktikal dalam bidang pertanian melalui pembelajaran secara hands-on, daripada penanaman dan penjagaan pokok mangga hingga ke proses penuaian dan pembungkusan.

Projek itu turut meningkatkan keyakinan diri, memupuk sikap berdikari dan melengkapkan murid dengan kemahiran bernilai untuk masa depan.

Pelajar berkeperluan khas di SMK Sangkang didedahkan dengan pelbagai kemahiran berkaitan penanaman menerusi projek Harumanis Mango Cultivation Project.

Pengetua SMK Sanglang, Sharudin Mahmud berkongsi, pemilihan penanaman harumanis sebagai projek untuk AIA Healthiest School adalah kerana persekitaran sekolah tersebut yang terletak di kawasan luar bandar sekali gus menjadikan ia sesuai untuk projek sedemikian.

“Hubung kait dengan program sekolah tersihat AIA pula adalah bagi pelajar pendidikan khas ini, modul pembelajaran mereka adalah berbeza.

“Apabila mereka terlibat dengan projek sebegini, kami mendapati pelajar menjadi lebih ceria dan kedatangan mereka ke sekolah juga lebih baik.

“Mereka boleh menerima arahan dan boleh bertanggungjawab terhadap tanaman, menjadikan mereka lebih seronok, tenang dan emosi lebih terkawal,” katanya.

Tambahnya, menerusi program ini, pihak sekolah juga menyediakan skil kepada pelajar berkeperluan khas ini supaya selepas tamat persekolahan nanti juga, mereka boleh meneruskan kerjaya dalam bidang pertanian.

Salah seorang pelajarnya, Ku Muhammad Eddy Iqbal Ku Muhammad Fauzi, 17, berkongsi kepada K-Remaja bahawa dia cukup teruja apabila dapat mengendalikan program tanaman itu kerana menyimpan hasrat untuk mengusahakan ladang sendiri satu hari nanti.

“Selepas tamat persekolahan, saya mengimpikan untuk mempunyai ladang sendiri,” katanya.

Sepanjang program, Ku Eddy menyifatkan pengalaman melihat hasil tanamannya berbuah merupakan pengalaman paling bermakna buatnya.

“Selain itu, saya melihat harumanis itu menarik kerana ia merupakan identiti Perlis.

“Apabila terlibat dengan program ini juga, saya belajar bahawa tanaman sama seperti manusia yang mana ia perlu diberi ‘makanan’ (baja) dan ‘minuman’ (air),” jelasnya.

Guru Pengurus Projek, Mohd. Faizal Mansor pula memberitahu, selain kemahiran pertanian, pelajar juga didedahkan dengan ilmu keusahawanan kerana hasil tanaman itu kemudiannya dijual kepada pihak luar.

Sebagaimana yang kita maklum juga, mangga termasuk harumanis merupakan buah-buahan berkhasiat.

Public Health Malaysia (PHM) pernah berkongsi, mangga selain kaya dengan Vitamin A dan C, kajian menunjukkan buah mangga juga berpotensi untuk dijadikan bahan mengawal berat badan dengan menyekat perkembangan sel lemak.

Berucap pada majlis anugerah di Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Heng Zee Wang berkata, sejak diperkenalkan, program AIA Healthiest Schools telah berkembang menjadi salah satu inisiatif komuniti paling bermakna yang memperkasa pelajar untuk mengutamakan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka.

“Kami amat berbesar hati melihat amalan gaya hidup sihat dipraktikkan dalam kehidupan harian di sekolah dan bukan sekadar usaha sekali sahaja, tetapi menjadi sebahagian daripada cara mereka belajar, berinteraksi dan berkembang.

“Jumlah penyertaan yang amat menggalakkan dalam pertandingan tahun ini turut mencerminkan bagaimana program ini berjaya menjangkau komuniti sekolah yang lebih luas di seluruh negara.

“Kami berbangga kerana program ini terus memupuk kreativiti dan semangat berpasukan yang menghasilkan pelbagai inisiatif yang memberi impak bermakna kepada komuniti sekolah,” katanya.

Pemenang tempat pertama sekolah menengah iaitu SMK Sanglang dan Sekolah Kebangsaan Manir pemenang tempat pertama sekolah rendah akan mewakili Malaysia di

Anugerah Serantau AIA Healthiest Schools yang bakal berlangsung pada Julai ini di Bangkok, Thailand.

Kedua-dua sekolah akan bersaing dengan pemenang dari lapan pasaran AIA yang lain iaitu China, Hong Kong, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN