SERAMAI lebih 80 pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak memanfaatkan cuti sekolah baru-baru ini dengan menyertai program pendidikan anjuran Mind Bloomy.
Menariknya, program Mind Bloomy Elite Camp (MBEC’26) itu menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan literasi kewangan.
Menerusi program berlangsung secara dalam talian itu pelajar tingkatan satu hingga tiga mengikuti sesi pembelajaran intensif melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Sepanjang dua hari program tersebut, peserta didedahkan kepada pelbagai teknik pembelajaran berkesan, strategi menjawab soalan serta tip menghadapi peperiksaan bagi membantu meningkatkan prestasi akademik mereka.
Guru Besar Mind Bloomy, Nur Amira Hasnul Hadi berkata, program itu diwujudkan bagi memastikan pelajar terus mengekalkan rentak pembelajaran, walaupun ketika cuti sekolah.
“Ramai pelajar menghadapi kesukaran untuk mengulang kaji secara konsisten tanpa bimbingan yang sesuai. Melalui program ini, mereka dibantu memahami konsep pembelajaran dengan lebih mudah, di samping menguasai teknik menjawab soalan secara efektif.
“Kami bukan sahaja mahu pelajar memperoleh keputusan yang lebih baik, malah membina keyakinan diri dan minat untuk terus belajar,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada akademik, Mind Bloomy turut menganjurkan program Money Smart Kids Johor Siri 1 baru-baru ini yang melibatkan peserta berusia enam hingga 14 tahun.
Program tersebut bertujuan memupuk kesedaran mengenai pengurusan kewangan pada usia muda menerusi pendedahan kepada amalan menabung, pengurusan perbelanjaan dan pemahaman tentang nilai wang dalam kehidupan seharian.
Salah seorang peserta, Raisha Husna Muhammad Ridzuan, 6, berkata, program itu memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
“Saya suka belajar tentang duit dan konsep tiga tabung iaitu belanja, simpan dan sedekah.
“Saya juga belajar cara menggunakan duit dengan baik dan dapat berkenalan dengan ramai kawan baharu,” katanya.
Menurut Mind Bloomy, kejayaan kedua-dua program tersebut membuktikan komitmen berterusan organisasi itu dalam menyediakan pendidikan berkualiti yang memenuhi keperluan semasa pelajar.
Selain program akademik dan pembangunan bakat, Mind Bloomy turut menawarkan pelbagai program intervensi khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme, disleksia, gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) serta kelewatan perkembangan.
Program berkenaan dikendalikan oleh pasukan juruintervensi serta occupational therapist (OT) berpengalaman bagi membantu setiap kanak-kanak mencapai potensi terbaik mereka.
Melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan praktikal, Mind Bloomy berharap dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kesedaran kewangan.














