PETALING JAYA – Telatah seorang murid perempuan yang menulis sendiri surat makluman tidak hadir ke sekolah kepada gurunya mencuit hati ramai apabila kandungan tersebut turut menyelitkan rancangan percutian keluarganya pada bulan hadapan.
Menerusi perkongsian seorang guru menggunakan akaun Threads @_nisa.khai, wanita itu memuat naik foto sekeping kertas berlipat yang diserahkan oleh anak muridnya dikenali sebagai Sara Hannah.
Pada bahagian hadapan lipatan surat berkenaan, tertera tulisan tangan murid terbabit yang ditujukan kepada Ustazah Khairrunisa dengan tajuk ‘Surat tidak hadir’ selepas beberapa kali dipadam dan dibetulkan.
Berdasarkan isi surat bertarikh 16 November 2026 itu, murid berkenaan memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah bermula hari ini sehingga Jumaat kerana mengikut ibu bapa serta kakaknya ke Cameron Highlands, Pahang.
“Saya tak datang sebab saya ikut mak ayah saya. Saya pergi outstation (ke lua negeri), tapi bukan luar negara. Saya pergi Pahang (Cameron Highlands).
“Kakak saya pun ikut, jadi saya dengan kakak saya tak ada esok sampai Jumaat,” kata murid tersebut.
Malah, murid tersebut turut menjelaskan secara terperinci bahawa dia akan pulang pada hari Sabtu dan kembali semula ke sekolah pada hari Isnin minggu berikutnya.
“Isnin depan saya datang balik,” jelasnya.
Dalam surat yang sama, murid berkenaan sudah berkongsi perancangannya untuk bercuti sekali lagi pada Disember ini sebagai pertimbangan awal daripada gurunya.
“Nanti Disember saya pergi Indonesia, pergi Kalimantan kot,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut disertakan dengan kapsyen berseloroh daripada guru terbabit yang membandingkan situasi biasa apabila surat makluman tidak hadir ditulis oleh ibu bapa berbanding surat yang ditulis sendiri oleh murid.
Perkongsian guru tersebut turut mendapat reaksi pengguna Threads yang lain sehingga meraih 70 komen dan lebih 3,600 tanda suka.
“Amboi jujur ya pergi bercuti sakan dia. Tak mahu pergi (masa) cuti sekolah sebab tak mahu hadap jem lah tu,” kata @che88es.
“Rasanya ustazah kena balas surat tu, sebab ayat akhir dia macam nak ajak sembang,” seloroh pengguna @axrisuperb_.
“Yang penting hari dan tarikh dekat atas (surat) tu dia tulis,” kata @blupzerry. – KOSMO! ONLINE














