JAKARTA – Sebuah klip video memaparkan perjuangan sekumpulan pelajar SMA Negeri 1 Serasan di Kabupaten Natuna, Kepulauan Riau, meredah air laut untuk ke sekolah tular di media sosial, lapor laman berita Radar Kediri.
Rakaman video itu menarik perhatian orang ramai terhadap cabaran pendidikan di wilayah kepulauan Indonesia.
Kumpulan pelajar terbabit terpaksa turun ke laut dan berjalan meredah air cetek sehingga pakaian seragam mereka basah kuyup.
Situasi tersebut berlaku selepas bot yang mereka naiki tidak dapat merapat ke jeti berikutan paras air laut yang sedang surut.
Pengetua sekolah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, para pelajar tersebut perlu menempuh perjalanan laut sekitar satu jam setiap hari untuk berulang-alik memandangkan lokasi sekolah terletak di pulau yang berbeza daripada kediaman mereka.
Susulan penularan video berkenaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Kepulauan Riau memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk mengemukakan cadangan pembinaan unit sekolah baharu di kawasan terlibat.
Langkah tersebut diharapkan dapat memudahkan akses pendidikan di samping menjamin aspek keselamatan para pelajar pada masa hadapan. – AGENSI














