KUALA LUMPUR – Dua buah kenderaan rosak selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kawasan sekolah menengah di Lorong Maarof 1, Bangsar di sini hari ini.
Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 12.13 tengah hari itu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dengan bantuan BBP Seputeh ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebatang pokok telah tumbang dalam kawasan sekolah dan menghempap dua buah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi turut dibantu jentera berat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengalihkan pokok yang tumbang tersebut. – KOSMO! ONLINE.














