KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) berharap projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Menjalara di sini dapat disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang lanjutan masa atau extension of time (EOT).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek bernilai RM85.9 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) itu perlu dilaksanakan dengan cekap bagi memastikan rakyat mendapat manfaat secepat mungkin.
“Projek yang akan bermula pada dua tahun lagi ini dijangka siap pada 2032. Saya tidak mahu melihat sebarang ‘extension of time’ diberikan. Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan baik.
“Kalau boleh, kita cuba sedaya upaya memendekkan tempoh pembinaan, malah ada sasaran untuk mempercepatkan siap lebih awal daripada jadual asal,” katanya pada sidang akhbar Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Menjalara, di sini, hari ini.
Menurutnya, klinik yang akan dibina di atas tapak seluas kira-kira 2.04 ekar itu bakal memanfaatkan kira-kira 256,000 penduduk meliputi Parlimen Segambut, sebahagian Parlimen Batu dan kawasan Damansara, termasuk kira-kira 110,000 penduduk di Menjalara.
“Pembinaan klinik ini amat penting bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti sedia ada seperti Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Batu Muda dan Klinik Komuniti Metro Prima yang ketika ini berdepan tekanan jumlah pesakit yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, Klinik Kesihatan Menjalara akan menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung termasuk klinik pesakit luar, ibu dan anak, pergigian, kecemasan, radiologi, makmal, farmasi serta rehabilitasi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, projek tersebut telah diperjuangkan sejak 2018 bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin meningkat.
Beliau yang juga Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, Segambut merupakan antara kawasan paling padat di Kuala Lumpur dan keperluan terhadap klinik kesihatan berskala besar amat mendesak.
“Sebelum dan selepas pandemik, ibu, bayi dan kanak-kanak terpaksa menunggu lama di klinik sedia ada yang sesak. Jadi, projek ini sangat diperlukan,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak termasuk agensi berkaitan dapat menyelaras urusan tanah dan pelaksanaan projek supaya pembinaan dapat dipercepatkan demi kesejahteraan warga kota.- KOSMO! ONLINE














