PETALING JAYA – Sikap jujur seorang remaja lelaki membayar umpan yang dibeli dengan menunjukkan bukti pembayaran pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sewaktu pekerja premis tiada di meja kaunter, mengundang pujian daripada orang ramai.
Menerusi hantaran video TikTok SakuraTackle, premis alat memancing di Kuala Terengganu memaparkan remaja tersebut masuk ke kedai dan mencari barangan di bahagian rak.
Kemudian, dia ke meja kaunter dengan menunjukkan bayaran wang tersebut di hadapan CCTV yang sedang merakam memandangkan tiada pekerja sedang bertugas di meja kaunter itu.
Akaun TikTok premis alat memancing itu memaklumkan, pada hari berkenaan, mereka kesemuanya keletihan selepas menyertai satu trip mencandat sotong dan tertidur.
“Tiba-tiba datang seorang adik ni datang ke kedai beli satu umpan soft frog jenama EXP. Apa yang saya nak cakap dekat sini bukan tentang umpan tu, tapi nilai sebuah kejujuran yang ada pada adik ni. Dia tunjuk duit dibayar dekat CCTV dan barang yang diambil.
“Saya nak ucapkan tahniah kepada ibu bapa adik ni kerana telah berjaya mendidik seorang insan yang jujur.
“Kepada sesiapa yang tengok video ni sampai habis, yang kenal adik ni, boleh tolong sampaikan pada adik ni supaya datang kedai Sakura Tackle sekali lagi, saya nak belanja adik ni satu lagi umpan soft frog EXP. Tolong sebarkan posting ni ye,” katanya.
Pada hantaran video seterusnya, pemilik premis tersebut menemui remaja berusia 13 tahun itu ditemani bapanya yang hadir ke kedai.
Remaja dikenali sebagai Haziq itu menerima beberapa hadiah alat memancing seperti umpan, mesin dan joran pemberian daripada pengguna TikTok serta pemilik premis tersebut.
Sementara itu, orang ramai meninggalkan komen-komen positif memuji remaja tersebut serta pemberi hadiah termasuk pemilik premis berkenaan.
“Ini salah satu rezeki yang juga mak ayah dia. Tahniah di atas didikan mak ayah. Anda perlu bangga dengan anak anda,” komen Poknik95.
“Alhamdulillah, tahniah buat ibu ayah serta terlibat dalam mendidik awak dik. Semoga jadi anak soleh berjaya dunia akhirat,” kata Linn Lynn.
“Sebenarnya tuhan atur comel. Abang ni pun baik sebab pandang benda kecil ni sebagai besar. Tahniah juga bang,” kata Qujie Aziz. – KOSMO! ONLINE
@sakura.tackle Alkisah hari ni staff @sakuratackleshop semua keletihan, penat angkat sotong trip candat semalam belum habis lagi 😅 tertidur, tiba-tiba datang seorang adik ni datang ke kedai beli satu umpan soft frog brand EXP. Apa yang saya nak highlight dekat sini bukan tentang umpan EXP tu tapi nilai sebuah kejujuran yang ada pada adik ni. Dia tunjuk duit yang dibayar dekat CCTV & barang yang diambil ☺️ Saya nak ucapkan tahniah kepada ibu bapa adik ni kerana telah berjaya mendidik seorang insan yang jujur 👏🏻👏🏻👏🏻 Kepada sesiapa yang tengok video ni sampai habis, yang kenal adik ni, boleh tolong sampaikan pada adik ni supaya datang kedai Sakura Tackle sekali lagi, saya nak BELANJA adik ni satu lagi umpan soft frog EXP 😬 tolong sebarkan posting ni ye #sakuratackle #candatsotongterengganu #umpansotong #isbuyingjanganlalai ♬ original sound – UltimateWarrior














