Terdapat peniaga makanan hari ini yang terpaksa merayu pelanggan supaya datang ke kedai atau restoran mereka melalui media sosial.
Ada yang sentiasa membuat live, malah meminta tolong pempengaruh datang untuk memperkenalkan restoran.
Situasi ini menggambarkan betapa mencabarnya dunia perniagaan makanan.
Hakikatnya, membuka restoran mungkin mudah, tetapi memastikan pelanggan terus datang, bukan perkara mudah.
Makanan sedap belum tentu menjamin perniagaan berjaya jika harganya terlalu tinggi untuk kemampuan pelanggan.
Sebaliknya, makanan yang murah juga belum tentu mampu menarik pelanggan jika kualiti pula tidak memuaskan.
Makan di luar bagi sesetengah keluarga bukan lagi kebiasaan setiap hari, sebaliknya menjadi perbelanjaan yang perlu dipertimbangkan.
Jika harga hidangan di sesebuah restoran menyebabkan pelanggan tidak mampu datang setiap minggu, mereka mungkin memilih untuk makan di rumah.
Di sinilah peniaga berdepan dilema. Harga bahan mentah, sewa premis, bil utiliti, gaji pekerja dan pelbagai kos operasi perlu ditanggung.
Peniaga tersepit antara kemampuan pelanggan dengan kos sebenar menjalankan perniagaan.
Perkara paling menyedihkan ialah apabila kita melihat peniaga yang benar-benar berusaha, tetapi akhirnya terpaksa menutup perniagaan.
Mereka bukan semestinya gagal kerana malas atau tidak pandai memasak.
Ada kalanya lokasi kurang strategik, persaingan terlalu sengit, kuasa beli pelanggan merosot atau kos operasi meningkat melebihi kemampuan perniagaan.
Ketika pelanggan hanya melihat harga makanan di atas meja, peniaga pula sedang memikirkan cara hendak memastikan kedai itu masih dibuka esok harinya.
Akhirnya, terdapat satu hakikat yang perlu diterima, tidak semua impian perniagaan berakhir dengan kejayaan.
Sebagai pengguna, kita mungkin tidak mampu membantu semua peniaga.
Namun, jika terdapat kedai makan berhampiran yang menawarkan makanan berkualiti pada harga berpatutan, tidak salah untuk kita memberi sokongan.
Sokongan tidak semestinya melalui pembelian, sebaliknya berkongsi maklumat, ulasan jujur atau mencadangkannya kepada rakan juga boleh membantu.
















