fbpx
MOHD. SHAFRY

JETP pemacu masa depan ekonomi Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyifatkan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) sebagai agenda pembangunan strategik yang mampu menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan serantau.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pelan itu dilihat sebagai satu anjakan penting kerana bukan sekadar memberi fokus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, malah menekankan aspek realisasi pelaburan secara lebih tersusun, berkesan dan memberi impak tinggi.

Menurut beliau, pendekatan JETP yang memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan infrastruktur, dasar mesra pelabur, fasilitasi pelaburan, pembangunan modal insan serta pengkhususan ekonomi mengikut daerah memperlihatkan perancangan yang praktikal dan menyeluruh.

“UTM turut menyambut baik tumpuan JETP terhadap sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, pembuatan termaju, aeroangkasa, inovasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan bakat masa hadapan.

“Keutamaan ini selari dengan peranan universiti dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, memperkukuh penyelidikan berimpak dan mempercepatkan pengkomersialan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

JETP dilancarkan Kerajaan Negeri Johor sebagai pelan pembangunan ekonomi jangka panjang bagi menyokong agenda Johor Maju 2030, dengan matlamat menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi dan pusat pertumbuhan ekonomi berdaya saing.

Pelan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan kekuatan daerah dengan setiap kawasan dikenal pasti memiliki kelebihan tertentu termasuk sektor industri, teknologi, logistik, pelabuhan, pelancongan serta ekonomi digital.

Dalam pada itu, Mohd. Shafry berkata, UTM bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan negeri menerusi kepakaran akademik, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, analitik dasar serta kerjasama bersama sektor industri.

Beliau berkata, kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, universiti dan industri perlu diperkasakan bagi memastikan keperluan bakat, teknologi serta penyelidikan dapat diselaraskan dengan sektor ekonomi yang menjadi keutamaan negeri.

“UTM juga mencadangkan supaya pelaksanaan JETP disokong melalui mekanisme pemantauan yang jelas termasuk pelaporan kemajuan, petunjuk prestasi utama (KPI), penciptaan pekerjaan, impak kepada daerah dan tahap realisasi pelaburan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat secara langsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN