SEREMBAN – Aksi ‘superman’, zig-zag dan cubaan sorok motosikal dalam semak tidak berhasil apabila enam diberkas dalam Ops Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Operasi bermula pukul 10 malam hingga 8 pagi itu dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Nilai dan Jalan Bypass Port Dickson, Kampung Arab.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Roslan Mohamed @Abd Aziz berkata, di Nilai, dua lelaki ditahan dengan seorang daripadanya ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 42(1) akta sama. Polis turut menyita sebuah motosikal dan sebuah kereta.
“Sementara, di Port Dickson pula, empat lagi lelaki diberkas mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987, dengan 19 motosikal disita.
“Secara keseluruhannya kesemua tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun manakala sitaan melibatkan 20 motosikal serta sebuah kereta,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, sepanjang operasi, polis mengeluarkan 286 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu (40 kes), tiada cermin sisi (39), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (37) dan ubah suai ekzos (32).
“Sembilan kes membabitkan penunggang bawah umur 16 tahun direkodkan, dengan majoriti pesalah berusia antara 14 hingga 25 tahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














