PETALING JAYA – Semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini diculik tentera rejim di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece telah selamat tiba di Turkiye.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Rahmat Sumud Nusantara, pesawat yang membawa kesemua sukarelawan itu tiba di Istanbul kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Alhamdulillah ayahanda Haji ZRA Strim dan 180 sukarelawan sudah selamat mendarat di Istanbul pukul 3 pagi selepas diculik IOF di perairan antarabangsa.
“Apakah mereka akan meneruskan pelayaran atau pulang itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pemandu (steering Comittee) Sumud Flotilla,” tulisnya.
Pada hantaran sama, Rahmat turut memaklumkan bahawa dua lagi sukarelawan masih ditahan tentera rejjim dan dia mahu seluruh masyarakat terus bersolidariti untuk kesemua sukarelawan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 serta diculik di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece telah dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete semalam.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua aktivis berkenaan diculik oleh rejim Zionis Israel dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion menaiki bas yang disediakan oleh pihak Greece.
Jelas beliau, Kerajaan Turkiye telah menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warga negara Turkiye.
Malah katanya, Kerajaan Turkiye juga mempelawa mana-mana aktivis GSF untuk turut terbang pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion dijangkakan pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pukul 11.45 malam waktu Malaysia. – KOSMO! ONLINE














