KLUANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 68.3 Jalan Batu Pahat – Mersing petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku Pas’a pukul 3.05 petang itu melibatkan Gerald Japie, 60, yang memandu kereta Proton Wira dan sebuah kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dan dinaiki empat sekeluarga.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa datang dari arah bandar Kluang menuju ke pekan Kahang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dipercayai akibat jalan licin selepas hujan di kawasan kemalangan.
Jelas, dalam masa sama kereta Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan di antara kedua-kedua kenderaan.
“Akibat daripada pertembungan itu, Gerald Japie mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat sekeluarga yang menaiki kereta Perodua Bezza mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan semua mangsa cedera kini dirawat di hospital sama,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE














