JASIN – Golongan yang terpaksa tidur di dalam kereta, menumpang di kaki lima atau berlindung di bawah jambatan akibat kesempitan hidup kini dapat menarik nafas lega susulan pembinaan rumah transit yang dapat dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kemudahan itu bertujuan membantu individu atau keluarga yang kehilangan tempat tinggal sebelum mereka dapat membina semula kehidupan secara lebih stabil.
“Kadang-kadang kita menerima kes orang tinggal dalam kereta, menumpang di sana sini atau tinggal di bawah jambatan kerana tidak mampu menyewa rumah.
“Jadi rumah transit ini diwujudkan sebagai tempat perlindungan sementara untuk mereka. Mereka tidak perlu membayar apa-apa dan boleh tinggal sehingga tiga bulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada 30 Asnaf di Rumah Transit Asnaf JPKK Serkam dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ISP Group di Kampung Serkam di sini.
Menurut Muhammad Akmal, rumah transit yang dibangunkan hasil kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sekam Darat dan pelbagai pihak itu mempunyai lima unit dan dijangka bertambah kepada enam unit dalam masa terdekat.
Katanya, sepanjang tempoh penghuni berada di rumah transit tersebut, pelbagai usaha akan dilakukan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan serta menstabilkan kehidupan sebelum berpindah ke kediaman yang lebih sesuai.
Mengulas perkembangan seterusnya, Dr. Akmal berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mahu menyumbang bagi memperbanyakkan rumah transit di Melaka. – KOSMO! OLINE














