fbpx
KIRA-KIRA 5,000 minyak masak peket bertaburan di Lebuh AMJ Jalan Kandang, Melaka, hari ini.

[VIDEO] 5,000 minyak masak peket tergolek tengah jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kira-kira 5,000 minyak masak peket satu kilogram bertaburan di atas jalan selepas lori yang membawa muatan bersubsidi itu terbabas di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Jalan Kandang, pagi tadi.

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.44 pagi membabitkan khidmat khas tumpahan minyak masak peket.

Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada pukul 11.50 pagi dan mendapati terdapat tumpahan minyak masak di atas jalan akibat daripada kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori terbabas.

“Kejadian telah dilaporkan oleh Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Akhbar Abdol Karim dan operasi pembersihan tumpahan minyak dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, dianggarkan tumpahan minyak melibatkan 1,000 minyak masak peket, manakala bekalan yang lain dipercayai masih berada dalam keadaan baik dan akan dikutip oleh wakil pihak syarikat.

“Setakat pukul 2 petang tadi, operasi pembersihan minyak masih dilakukan dan serbuk kayu akan ditabur secara menyeluruh di atas kawasan tumpahan minyak supaya jalan raya tidak lagi licin,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati beberapa pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan masing-masing bagi melihat operasi pembersihan yang dijalankan pasukan bomba, namun tiada individu dilihat cuba mengambil minyak masak peket yang bertaburan.

Difahamkan, wakil syarikat terbabit telah memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil bekalan tersebut kerana ia akan dikumpulkan semula oleh pihak syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN