fbpx
Gambar hiasan

Israel terdesak, GSF disasar di perairan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Tindakan provokasi di laut antarabangsa membuktikan pihak rejim Israel bertindak terdesak dalam cubaan mengganggu misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, situasi semasa menunjukkan pendekatan lebih agresif berbanding insiden terdahulu.

Menurutnya, flotila ketika ini berada kira-kira 656 batu nautika dari Gaza, jauh di luar zon konflik, namun tetap dihampiri dan dipintas.

“Jika dibandingkan dengan 1 Oktober tahun lalu, ketika flotila ditahan sebelum ini, kedudukannya adalah di Red Zone 1, kira-kira 50 batu nautika dari Gaza.

“Kali ini, kejadian berlaku di perairan antarabangsa, namun provokasi tetap dilakukan,” katanya pada sidang akhbar khas di SNCC hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu dipercayai berpunca daripada tekanan antarabangsa yang semakin meningkat susulan sokongan global terhadap misi kemanusiaan ke Gaza.

“Kita yakin sokongan seluruh dunia termasuk Malaysia menyebabkan pihak tersebut berasa goyah dan bertindak melakukan provokasi awal, mungkin untuk mengugut serta menghentikan gerakan besar-besaran ini,” ujarnya.

Tambahnya, kapal-kapal flotila kini sedang bergerak ke arah perairan Greece bagi mendapatkan perlindungan, dengan sebahagian daripadanya telah memasuki sempadan 12 batu nautika yang menandakan kedaulatan negara itu.

“Insiden ini jelas berlaku di laut antarabangsa dan bukan dalam wilayah mana-mana negara,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 63 kapal berlayar bagi misi berkenaan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, sebanyak 22 kapal misi kemanusiaan GSF 2.0 dipintas tentera Israel, dengan enam daripadanya melibatkan rakyat Malaysia dalam insiden di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Insiden itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan 6 petang hingga 4 pagi waktu Greece. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN