SEREMBAN – Krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan semakin meruncing apabila Kerajaan Negeri mengarahkan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan merujuk kepada keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April lalu.
Ia ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.
“Sehubungan dengan itu, pihak tuan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan Bangunan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta. “Semua aset-aset Kerajaan Negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” kata surat itu.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim ketika dihubungi enggan mengulas dan memberi sebarang pengesahan berhubung perkara berkenaan. “Saya tidak boleh komen apa-apa,” katanya ringkas.
Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, difahamkan pegawai yang sebelum ini bertugas di balai itu telah diarahkan bertukar penempatan.- KOSMO! ONLINE














