fbpx
Sani Araby pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Pintasan GSF 2.0: 10 rakyat Malaysia terlibat, 22 kapal diceroboh IDF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Sebanyak 22 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dipintas, dengan enam daripadanya melibatkan rakyat Malaysia dalam insiden di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, hari ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, insiden itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan 6 petang hingga 4 pagi waktu Greece.

Menurutnya, ketika kejadian, flotila berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete.

“SNCC mengesahkan kapal GSF telah dihampiri secara agresif oleh kapal Tentera Pertahanan Israel (IDF) di zon pelayaran antarabangsa yang sah di bawah Konvensyen Undang-undang Laut (UNCLOS) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Berlaku provokasi apabila pihak IDF melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi selain melakukan gangguan frekuensi radio terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata,” katanya pada sidang akhbar khas Sumud Nusantara di SNCC hari ini.

Beliau berkata, kesemua 22 kapal yang dinaiki 186 individu telah dipintas, terputus hubungan dan sebahagiannya diceroboh secara langsung.

Tambahnya, enam kapal yang disahkan ditahan melibatkan rakyat Malaysia ialah Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea.

“Antara rakyat Malaysia terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan puluhan dron tidak dikenalpasti turut dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotila, dipercayai bagi tujuan pemantauan dan gangguan komunikasi.

Menurutnya, rakaman audio dan visual yang diperoleh menunjukkan pihak IDF menggunakan naratif tertentu untuk menjustifikasikan tindakan mereka, walaupun flotila kekal berada di laluan perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN