fbpx
Abdul Gafar (depan) meninjau pasar raya premium, Cold Storage pertama di Kedah di The Tenz Emporium, Simpang Kuala, Alor Setar hari ini.

Bekas pawagam Tai Kuan jadi hab beli-belah moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tapak bekas pawagam Tai Kuan di Simpang Kuala di sini kembali ‘hidup’ apabila ditransformasikan menjadi The Tenz Emporium oleh Kumpulan Imperio, sekali gus menandakan era baharu landskap peruncitan moden dan mesra komuniti di Kedah.

The Tenz Emporium turut menempatkan pasar raya premium, Cold Storage sebagai peneraju utama di lokasi li-belah tersebut, selain menjadi yang pertama di negeri ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Abdul Gafar Yahya berkata, bagi setiap warga Alor Setar, tapak Tai Kuan mempunyai kedudukan istimewa dalam lipatan sejarah negeri.

“Bagi saya sendiri dan ramai lagi yang membesar di sini, kawasan ini adalah simbol identiti dan nadi penggerak komuniti Simpang Kuala suatu ketika dahulu.

“Melihat kawasan ini terbiar sepi sebelum ini adalah satu kehilangan buat bandar raya kita. Ia bukan sekadar bangunan kosong tetapi seolah-olah satu ruang kosong dalam naratif pembangunan kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran The Tenz Emporium dan pembukaan Cold Storage pertama di Kedah di Simpang Kuala di sini hari ini.

Menurut Abdul Gafar, pembangunan The Tenz Emporium mampu merancakkan lagi sektor perniagaan di kawasan tersebut.

“Melalui komitmen Kumpulan Imperio, The Tenz Emporium bakal mengembalikan kegemilangan tapak ini sebagai pusat tumpuan masyarakat serta menjadi nadi kepada Simpang Kuala,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan yang berjaya bukan sekadar tentang menjadi yang paling mewah, tetapi bagaimana ia memberi manfaat, memenuhi keperluan komuniti serta meningkatkan kebolehcapaian kepada penduduk setempat.

“Projek ini bukan hanya mengenai runcit, malah menjadi satu pencapaian penting dalam menyediakan akses kepada kemudahan premium dan standard antarabangsa yang sebelum ini tidak terdapat di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Imperio, Lee Woei Nen berkata, Tai Kuan bukan sekadar sebuah bangunan, ia adalah sebahagian daripada memori dan kehidupan masyarakat Alor Setar termasuk dirinya sendiri.

“Sebagai anak kelahiran Kedah, saya percaya pembangunan semula tapak ini perlu mengekalkan nilai dan jiwa yang dekat dengan komuniti setempat.

“The Tenz Emporium direka sebagai destinasi runcit berteraskan komuniti yang menghormati warisan lampau sambil memenuhi keperluan gaya hidup masa kini,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Cheah Yong Hock berkata, kehadiran Cold Storage yang dikenali dengan pilihan produk segar serta rangkaian jenama antarabangsa premium di The Tenz Emporium menandakan evolusi landskap komersial Kedah.

“Jika sebelum ini penduduk perlu merentas sempadan negeri untuk merasai pengalaman membeli-belah ikonik Cold Storage, kini penawaran gaya hidup eksklusif tersebut telah tersedia sebagai nadi peruncitan baharu di bandar raya ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN