KOTA BHARU – Empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang gadis berusia 19 tahun yang dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan.
Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dan isterinya berusia 60 tahun pula diperintah menjalani tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin.
Difahamkan, kedua-dua warga emas itu merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek lelaki yang ditahan.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, keempat-empat suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Kosmo! Online semalam melaporkan, mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, yang dipercayai dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam semalam dipercayai mati akibat ditikam sebanyak 61 kali.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, ada sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Menurutnya, mangsa juga memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan. – KOSMO! ONLINE














