fbpx
Operasi mencari mangsa, Khairil Izani (kanan) diperluaskan kepada radius lima kilometer. Foto IHSAN POLIS

Mangsa main bola semasa hujan lebat sebelum hanyut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki yang hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai bermain bola bersama dua rakannya ketika hujan lebat sebelum kejadian berlaku di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira pukul 7.10 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak bomba dan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis.

Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau pegawai penyiasat, SM Fuzi Kamazan di talian 012-3818167.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang, di sini diperluaskan kepada radius lima kilometer (km) hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Azreel Izaidi Ahamad dilaporkan berkata, pencarian mangsa, Khairil Izani Khaizalulinurdin, 10, meliputi laluan air sehingga ke Taman Industri Alam Jaya.

Menurutnya, operasi semalam ditamatkan kira-kira pukul 4.30 pagi sebelum disambung semula pukul 8 pagi tadi dan disertai 19 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PDA), Unit Anjing Pengesan (K9) dengan memfokuskan titik C iaitu lokasi terakhir mangsa terjatuh.

Katanya, kawasan awal telah diperiksa beberapa kali termasuk oleh anggota dan bapa mangsa namun tiada sebarang penemuan diperoleh setakat ini.

Tambah Azreel, pemeriksaan turut dilakukan di laluan bawah tanah termasuk manhole dari titik C hingga ke kawasan yang mempunyai selekoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN