fbpx
Li Jin ketika hadir ke Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Penganggur dibebas, dilepaskan tuduhan amang seksual kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Seorang penganggur dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan kes amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak, Datin M Kunasundary membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.

Tertuduh, Na Li Jin, 34, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia lapan tahun lapan bulan.

Li Jin didakwa melakukan perkara itu di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 7 hingga 8 Oktober 2022.

Kunasundary berkata, mahkamah mendapati pegawai penyiasat kes berkenaan cuai dalam menjalankan siasatan dan hanya merakamkan kenyataan dua saksi sebelum menahan Li Jin.

“Adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Dalam kes ini, laporan keganasan seksual itu dibuat selepas beberapa tahun dan mangsa adalah seorang kanak-kanak.

“Pegawai penyiasat mempunyai tanggungjawab besar memastikan semua aspek disiasat dengan secara menyeluruh,” katanya

Pada masa sama, Kunasundary berkata, berdasarkan keterangan saksi, tertuduh tidak menyewa di rumah yang dikatakan menjadi lokasi kejadian amang seksual fizikal itu pada 2022.

Sebaliknya, katanya, tertuduh hanya menetap di rumah itu bermula pada 2024 sedangkan laporan mendakwa kejadian itu berlaku pada 2022.

“Selepas menilai semua bukti, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketepatan pendakwaan yang dihadapi oleh tertuduh di mahkamah ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Li Jin, Muhammad Amirul Mukminin Mohd. Sufian berkata, anak guamnya berdepan satu lagi kes membabitkan akta sama tetapi kes itu digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporannya.

“Ketika kejadian, anak guam saya bekerja sebagai pemandu van sekolah dan guru tuisyen,” katanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN