PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali meluahkan kebimbangan melihat lambakan berita negatif serta isu sensasi yang berlegar dalam media sosial kebelakangan ini.
Menyedari impak berita tersebut terhadap ketenangan jiwa, Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri bagi mengelakkan terjebak dalam budaya negatif.
“Sejak dua menjak ini baca berita semua, menyeramkan.
“Setiap masa akan tepuk dada pesan pada hati sendiri ‘jangan sibuk hal orang, jangan nak ikuti sangat dengan cerita orang’,” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut mengingatkan diri bahawa kekurangan dirinya masih dijaga rapi Tuhan tanpa perlu memberi kecaman.
“Jangan sertai kutuk berjemaah. Awak itu tak sempurna, sementara Allah masih tutup aib awak.
“Lebih baik perbaiki diri untuk jadi manusia yang lebih baik,” katanya lagi.
Tindakan Nabila dipercayai diambil selepas melihat fenomena segelintir netizen yang mudah menjatuhkan hukum dan mengecam dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE














