PARIS – Bintang Perancis, Michael Olise mula menunjukkan taring apabila meledak hatrik pertama untuk membantu Les Bleus menewaskan Ireland Utara 3-1 pada aksi persahabatan terakhir sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2026.
Lebih menarik, kemenangan itu turut menjadi hadiah perpisahan yang cukup bermakna buat Didier Deschamps dalam aksi terakhirnya di bumi Perancis sebelum menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih selepas Piala Dunia nanti.
Selepas dikecewakan Argentina menerusi penentuan penalti pada final edisi 2022, Deschamps kini mengimpikan penebusan dan percaya prestasi luar biasa Olise menjadi petanda baik buat misi memburu gelaran dunia.
Pemain Bayern Munich berusia 24 tahun itu kini berada dalam prestasi terbaik apabila merekodkan 31 penglibatan gol hasil 15 jaringan dan 16 bantuan gol dalam 31 penampilan bersama kelab serta skuad kebangsaan sepanjang tahun ini.
Malah, Olise turut muncul pemain pertama menjaringkan hatrik buat Perancis dalam aksi persahabatan sejak Olivier Giroud melakukannya ketika menentang Paraguay pada 2017.
Dalam masa sama, Deschamps turut memuji seorang lagi pemain muda Perancis, Desire Doue yang dianggap memiliki pakej lengkap untuk menjadi senjata utama pasukan pada kejohanan bola sepak berprestij itu.
“Doue masih muda tetapi sudah bersedia kerana dia sentiasa menjadi pemain penting bersama kelab dan juga pasukan kebangsaan.
“Selain itu, dia juga rajin dan banyak membantu benteng pertahanan. Itu bukan tugas yang mudah dan kehadirannya memberikan kami satu lagi senjata di posisi serangan,” katanya. – AGENSI














