PETALING JAYA – Perasaan terjumpa wang tunai yang sudah lama dilupakan sebagai simpanan atau disembunyikan sering kali digambarkan bagai menerima ‘bonus’ tidak disangka-sangka.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Pelastikkzz, dia memuat naik sekeping gambar memaparkan beberapa wang kertas RM100, RM50 dan RM10 yang diikat kemas menggunakan getah.
“Ada sesiapa pernah terjumpa balik duit sendiri yang dah lama dilupakan tak? Rasa macam baru dapat bonus walaupun hakikatnya duit sendiri.
“Yang pernah sahaja tahu rasa jadi OKB (orang kaya baru),” selorohnya di ruangan kapsyen.
Menurutnya, jumlah keseluruhan wang tunai yang berjaya ditemui semula itu adalah mencecah hampir lebih RM3,000.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berseloroh dan pengalaman serupa terjumpa duit yang pernah disembunyikan.
“Pernah, kemas beg masa nak pindah dahulu. Tiba-tiba buka beg ada RM1,000. Sorok duit beria-ria betul dulu, selepas itu sendiri yang lupa,” ujar Eohaizajamal.
“Tak pernah sebab saya ingat setiap sen yang saya simpan dan tak akan jadi simpanan,” seloroh Deknaa_Ozzy88. – KOSMO! ONLINE














