fbpx
SYUHAINIE dan Mohd. Aszmizan menunjukkan jualan roti john yang dijual mereka ketika ditemui di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson kelmarin. – NOR AINNA HAMZAH

‘Saya seronok dapat cari duit sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Hidup sebagai insan yang tidak boleh mendengar sejak kecil tidak menghalang seorang lepasan politeknik bidang Seni Kulinari untuk mencari rezeki sendiri melalui perniagaan jual burger dan roti john di Batu 4, Jalan Pantai, di sini, sejak lebih empat tahun lalu.

Lebih membanggakan, Syuhainie Shaharuddin, 36, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak itu turut mempunyai bakat kepimpinan apabila bakal menganjurkan Karnival Usahawan Pekak 2.0 di tapak niaganya pada 4 Jun ini.

Menurut Syuhainie, dia cukup gembira apabila dapat melihat rakan-rakan yang pekak sepertinya dapat menjana pendapatan melalui perniagaan.

“Saya rasa sangat seronok sebab dapat cari duit sendiri. ­Pelanggan tetap juga ramai dan kebiasaannya, saya akan uruskan perniagaan ini bersama rakan, Mohd. Aszmizan Mohd Hasan, 36.

“Kami tidak pernah menjadikan kekurangan kami sebagai halangan untuk mencari rezeki. Namun, perniagaan ini juga tidak terlepas daripada pelbagai ujian,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Batu 4, Jalan Pantai, di sini kelmarin.

Syuhainie berkata, setiap hari dia mampu membuat jualan sekitar RM300 dan jumlah ber­kenaan biasanya meningkat pada cuti hujung minggu atau cuti sekolah.

“Kadang-kadang saya dikunjungi oleh rakan-rakan OKU yang bernaung dalam sebuah aplikasi penghantar p-hailing dari negeri berdekatan seperti dari Kuala Lumpur. Komuniti kami ada lebih 150 orang di seluruh negara,” katanya lagi.

Sementara itu, ibu Syuhainie, Safiah Sidek, 66, berkata, dia dan suaminya, Sharuddin Abdul Hadi, 72, sentiasa memberikan sokongan terhadap minat Syuhainie dan mahu memastikan anak ketiga dari empat beradik itu dapat berdikari.

“Saya ingat lagi disebabkan kebimbangan saya terhadap masa depannya, pada tahun 1993 saya buka kelas kanak-kanak istimewa cacat pendengaran di Pekan Port Dickson. Masa itu saya sanggup keluarkan modal sendiri serta buat jualan amal meja dan dapatkan guru bahasa isyarat di Pengkalan Durian untuk ulang alik ke kelas.

Bagaimanapun menurutnya, anaknya tidak sempat memasuki kelas yang kini sudah diuruskan oleh institusi kerajaan kerana berpeluang untuk menjalani pembelajaran di kelas khas di sekolah aliran kebangsaan.

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh sorokkan anak istimewa kita dan halang mereka mendapat akses pendidikan yang sewajarnya. Selepas tamat pendidikan menengah, anak saya berjaya menyambung pelajaran di peringkat diploma di politeknik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN