PETALING JAYA – Tanggal 23 April 2024 kekal menjadi detik hitam buat negara lebih-lebih lagi perasaan luluh serta kesedihan keluarga 10 wira Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat nahas helikopter Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.
Menerusi perkongsian Siti Aisyah Mohd. Roslan, 36, di Threads yang merupakan balu kepada Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd. Marzukhi, dia terkenangkan arwah sebaik sahaja melihat helikopter melintasi udara sebelum turut berkongsikan sekeping gambar tiga helikopter sedang terbang.
“Hari ini helikopter lalu, terasa abang (Allahyarham Mohammad Amirulfaris) ada dalam itu. Terasa abang akan balik rumah selepas fly (penerbangan).
“Esok (semalam) cukup dua tahun tinggalkan sayang, Umar (Umar Fayyadh) dan Ammar (Ammar Affan). Al-fatihah buat arwah dan rakan seperjuangan,” katanya yang menggunakan nama @asya_yesha kelmarin.
Perkongsian tersebut turut mendapat reaksi daripada isteri seorang pembantu juruterbang yang sedang mengendalikan helikopter tersebut yang menggunakan nama @isyzlna.
“Al-fatihah. Semoga Allah mudahkan segala urusan Kak Asya dan anak-anak dunia akhirat. Saya isteri kepada salah seorang pembantu juruterbang SKN502 yang tengah fly itu.
“Tidak pernah jumpa Kak Asya namun sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua keluarga unit udara. Jaga diri Kak Asya,” katanya.
Selain Mohammad Amirulfaris, wira negara yang terkorban dalam HOM AW139 ialah, Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II, Noorfarahimi Mohd. Saedy; Bintara Muda, Noor Rahiza Anuar dan Laskar Kelas I , Joanna Felicia anak Rohna.
Tiga mangsa di dalam Fennec ialah, Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan dan Pegawai Waran II, Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.
Pada 24 April 2024, Kosmo! melaporkan, dua buah helikopter milik TLDM bertembung di udara sebelum terhempas ketika sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Nahas udara yang berlaku pada pukul 9.32 pagi itu melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec yang membawa seramai 10 kru.
Akhbar ini pada 25 April 2024 turut melaporkan, perjalanan akhir 10 perwira negara yang terkorban dalam nahas membabitkan dua buah helikopter tersebut dilakukan dengan penuh adat istiadat rasmi TLDM di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris masing-masing. -KOSMO! ONLINE














