fbpx
GAMBAR kenangan Aulia bersama arwah ibunya, Jamaliah yang maut dalam nahas yang meragut enam nyawa di Sungai Petani, Ahad lalu.

Aulia cedera teruk, ditidurkan sampai sekarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Anak pasa­ngan suami isteri yang maut dalam nahas dengan lori di Su­ngai Petani pada Ahad lalu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Perkara itu dimaklumkan bapa saudaranya, Ahmad Amirul Aqmar Ahmad Shukri, 25, yang membeitahu, Aulia Sofea, 3, mengalami pendarahan di bahagian kepala selain patah tulang di kawasan mata kanan dan kedua-dua kakinya.

Menurut pemuda itu, Aulia yang merupakan anak sulung terpaksa ditidurkan selepas meng­alami muntah ketika dirawat di hospital.

“Doktor sedang memantau keadaan Aulia dari semasa ke semasa. Dia baru selesai menjalani pembedahan di kepala petang semalam (kelmarin) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Ahmad Amirul yang juga adik anggota polis, Allahyarham Lans Koperal Ahmad Shafiq, 29, yang maut dalam nahas itu membe­ritahu, ketika kejadian, Aulia berada di tempat duduk penum­pang belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50.

Mengulas lanjut, lelaki itu berkata, dia bersama empat adik beradiknya sepakat untuk menjaga Aulia selepas kanak-kanak tersebut dibenarkan pulang ke rumah kelak.

“Sebelum ini, arwah ibu yang menjaga Aulia dan adik bongsunya. Sekarang kami ambil alih tanggungjawab bagi memastikan kebajikan dan masa depan Aulia terus terbela,” ujarnya.

Jelasnya, ahli keluarganya memberi tumpuan kepada pro­ses pemulihan Aulia selain mendoakan kanak-kanak itu kembali pulih seperti sedia kala.

Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, enam sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak parah selepas SUV Proton X50 yang dinaiki bertembung dengan lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Mangsa yang maut ialah Ahmad Shafiq; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail, dua bulan. Turut terkorban ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd. Husin, 55, adiknya, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudara, Iskandar Affan Ibrahim, 7.

Ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan untuk men­ziarahi kubur bapa Ahmad Shafiq di Merbok.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Institut Penyelidikan Kese­lamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menyiasat perkara sama,” katanya. Tambahnya, kertas siasatan ke atas drebar lori berusia 49 tahun diklasifikasi sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) selepas permohonan reman ditolak mahkamah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN