KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 16 tahun di dalam bilik sebuah rumah dekat Kuala Krai selama tempoh lebih setahun.
Tertuduh yang berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya berusia 16 tahun dua bulan ketika kejadian yang pertama apabila perhubungan dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kuala Krai dekat sini antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi dalam tempoh 25 Februari 2024 hingga Mac 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Syazalia memohon agar tiada jaminan diberikan dengan alasan kes tersebut serius kerana melibatkan mangsa yang juga merupakan anak tiri tertuduh.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














