PUTRAJAYA – Sebanyak 18.8 peratus warga emas dilaporkan tinggal bersendirian, sekali gus merekodkan peningkatan hampir tiga kali berganda berbanding 2018 yang hanya mencatatkan sebanyak 6.3 peratus.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas yang menumpukan kepada status kesihatan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, statistik NHMS 2025 turut mendedahkan dua cabaran sistemik masing-masing melibatkan isu mobiliti dan isolasi serta bebanan kewangan.
Bagaimanapun, katanya, tinjauan mendapati bahawa 61.3 peratus warga emas yang tinggal bersendirian mempunyai tahap sokongan sosial tinggi.
“Dengan populasi warga emas mencecah 4.1 juta orang dan 18.8 peratus tinggal bersendirian, kekangan pengangkutan dikhuatiri menghalang mereka daripada mengakses rawatan di fasiliti kesihatan secara konsisten.
“Isu mobiliti ini bukan sekadar masalah logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas di sini tadi.
Beliau berkata, isu kedua melibatkan bebanan kewangan kepada warga emas penjaga mereka.
“Realiti hari ini mendedahkan satu situasi yang amat menyentuh hati di mana satu daripada tiga penjaga dilaporkan memikul bebanan berat yang melampau merangkumi aspek fizikal, emosi dan tekanan kewangan signifikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














