KULIM – Seorang kanak-kanak, Nor Farrel Iman Muhamad Fahmin yang menghidap penyakit Biliary Atresia kini berada dalam keadaan sihat dan aktif selepas menjalani pembedahan di China, baru-baru ini.
Ibunya, Amirah Selgi, 33, berkata, anaknya yang berusia dua tahun itu kini menjalani rawatan susulan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur dan masih perlu dipantau rapi oleh pakar.
“Kami balik pada 6 April lalu dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sekitar pukul 10 pagi dan terus ke HTA untuk rawatan susulan. Buat masa sekarang Farrel masih di wad.
“Dia masih perlu berada di hospital untuk pemeriksaan. Kalau doktor sudah jarakkan temu janji, barulah kami boleh pulang ke Kulim,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, walaupun Farrel kini menunjukkan perkembangan positif, pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan tahap kesihatannya kekal stabil.
Katanya, mereka masih berulang-alik ke hospital setiap minggu dan berharap keadaan Farrel terus menunjukkan perkembangan baik sebelum dibenarkan pulang sepenuhnya ke Kulim.
“Alhamdulillah dia sihat dan aktif, cuma masih perlu dipantau lagi,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pembedahan hati bayi itu di China pada 10 Mac lalu berjalan lancar, namun Farrel terpaksa menjalani satu lagi prosedur susulan saluran arteri tersumbat.
Pasangan itu sebelum ini turut mencuri perhatian ramai apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM209,345.05 bagi menampung kos rawatan menerusi kempen yang digerakkan oleh Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia.
Kisah menyayat hati bayi itu mendapat simpati rakyat Malaysia sehingga sasaran kutipan sekitar RM200,000 berjaya dicapai dalam tempoh singkat hasil sumbangan orang ramai.














