SHAH ALAM – Perceraian bukan alasan Datuk A. Aida tidak boleh bersemuka dengan bekas suaminya, Ameng Spring.
A. Aida, 55, berkata, hubungannya dengan Ameng tidak mempunyai sebarang konflik dan perkara tersebut terbukti apabila menggandingkan anaknya, Azeva Natassha dengan Ameng pada konsert minggu pertama program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) malam tadi.
“Saya dengan Ameng tiada sebarang masalah sebab dia ayah kepada anak-anak kami.
“Nanti anak perempuan nak kawin, dia yang akan jadi wali. Saya okey saja dengan dia sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu pertama TTMM2 di sini, semalam.
Bercerita lanjut, berada di satu pentas yang sama malam tad merupakan pertama kali berlaku sejak mereka berpisah ketika Azeva baru berusia tiga tahun.
“Rasa-rasanya kami tidak pernah berada di satu pentas bersama sejak bercerai, inilah kali pertama berada satu pentas dengan Ameng dan Azeva.
“Kami berpisah ketika Azeva berumur tiga tahun dan itulah kali terakhir dia bersama dengan Ameng.
“Anak-anak saya memang tak pernah merasa sentuhan kasih sayang seorang ayah sebelum ini tapi sekarang Alhamdulillah,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai persembahan Azeva pada konsert minggu pertama TTMM2 semalam dengan diiringi Ameng yang bermain gitar sehingga berjaya menyentuh perasaan penonton, A. Aida mengakui itu semua merupakan hasil ideanya.
“Konsert pertama ialah minggu pengenalan dan sebab itu saya gigih buat ‘storyboard’ dengan mengetengahkan bakatnya bermain gitar dan sebagai anak Ameng Spring.
“Saya penulis skrip dan ada imaginasi tinggi membayangkan idea tersebut. Saya terus minta anak sulung hubungi Ameng.
“Tidak kira apa pun, Ameng kena tolong anak dia dan syukur dia setuju dengan kata okey,” ujarnya.
Sementara itu, Azeva tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi kegembiraannya yang akhirnya berpeluang sepentas bersama Ameng semalam.
“Ini kali pertama buat persembahan dengan ayah yang memang rasa sedih bila difikirkan semual.
“Papa beberapa kali datang ‘rehearsal’ dan akhirnya dapat berkumpul semula sebagai satu famili.
“Alhamdulillah sekarang ini Tuhan permudahkan hubungan dengan papa, semakin baik. Syukur sebab sebelum ini tak pernah merasa ayah (kasih sayang),” jelasnya.
Dia juga memberitahu Ameng turut menitipkan beberapa nasihat dan tips nyanyian kepadanya.
“Papa nasihatkan jaga penafasan dan bermain dengan emosi.
“Dia kata ‘papa seorang rockers, kena ikut caranya’. Sementara mama pula nasihat berkaitan lakonan.
“Jadi, saya sangat bersyukur ada ibu bapa yang boleh bantu bimbing dan didik dalam bidang seni ini,” jelasnya lagi.
Semalam, Azeva berjaya memukau ramai dengan persembahan menyentuh hati menerusi lagu Sejiwa yang dipopularkan oleh kumpulan Spring.
Selain Azeva dan A. Aida, TTMM2 turut disertai sembilan lagi penyanyi serta pengurus iaitu Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim Khairii. – KOSMO! ONLINE














