PETALING JAYA – Gelagat seorang kanak-kanak yang dibawa ibunya ke balai polis selepas tidak mendengar kata mengundang perhatian ramai apabila video tersebut tular di media sosial.
Menerusi video berkenaan, kanak-kanak lelaki itu dilihat menangis dan merayu di dalam kereta sebelum dibawa bertemu seorang anggota polis di sebuah pondok pengawal.
Difahamkan, tindakan ibu tersebut dilakukan sebagai pengajaran selepas anaknya enggan mendengar nasihat dan arahan yang diberikan.
“Haa polis boleh tembak? Dia tak nak dengar cakap, tak nak pakai selipar, suka lawan cakap ibu, suka main telefon,” kata ibu kanak-kanak itu kepada anggota polis berkenaan.
Lebih mencuit hati, anggota polis yang melayan kanak-kanak itu dilihat bertanyakan beberapa soalan sebelum memberi nasihat dengan cara yang lembut dan bersahaja.
“Biasa kalau lawan cakap ibu ni kita letak dalam penjara. Dengar cakap ibu tau, pakai selipar nanti kotor kaki,” nasihat anggota polis itu.
Rakaman tersebut mendapat lebih 500,000 tontonan di Threads dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur dengan situasi berkenaan.
Perkongsian itu turut membuatkan ramai ibu bapa bergurau bahawa balai polis mungkin akan menjadi lokasi pilihan sepanjang cuti sekolah bagi ‘menghadapi’ anak-anak yang semakin lasak dan sukar dikawal.
“Balai polis mana ni, nak bawa anak juga. Musim cuti sekolah ni memang kena bawa jumpa polis,” tulis Syasya.
“Memang ini je caranya, polis baru dengar kata. Kalau mak mak ni cakap takdenya dia nak dengar, esok aku nak bawa pergi balai polis,” komen Hasya.
Seorang pengguna lain pula berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, situasi seperti itu bukanlah perkara luar biasa, malah berlaku hampir setiap bulan.
“Sepanjang enam tahun aku bertugas, benda ni hampir setiap bulan dapat. Tapi akhirnya budak-budak tu semua insaf,” katanya.- KOSMO! ONLINE














