PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat untuk ‘menjual’ data Pangkalan Data Utama (Padu) kepada pasaran terbuka, sebaliknya kekal bagi kegunaan kerajaan dan perkhidmatan awam.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Padu akan terus kekal sebagai platform dan kemudahan sokongan utama bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, tumpuan Padu ketika ini adalah membantu agensi kerajaan dalam proses verifikasi dan analisis data bukannya sebagai sumber hasil.
“Saya tidak fikir kami mahu komersialkan data Padu kerana tumpuannya kepada adalah perkhidmatan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Hala Tuju Padu, di sini hari ini.
Beliau berkata, Padu juga akan terus berperanan sebagai sistem sokongan utama yang menghubungkan data merentas pelbagai agensi.
Ditanya sama ada kos pembangunan Padu, sebanyak RM85 juta berbaloi kepada kerajaan Akmal berkata, kos itu tidak dibazirkan kerana ia kini mempunyai banyak fungsi dan peranan.
“Buat masa ini, platform itu telah tersedia ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memastikan kemahiran dan kekuatan sedia ada dapat ditawarkan secara efektif kepada agensi terlibat. Ini penting supaya setiap perkhidmatan yang dibangunkan benar-benar memberi nilai tambah kepada operasi mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














