fbpx
Sebanyak 13 ekor lembu seludup yang dirampas di dalam muatan sebuah lori di Kampung Manan, Bunut Susu dekat Pasir Mas semalam. FOTO IHSAN PGA

Tak sempat terima upah RM70 kena cekup ‘angkut’ lembu seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Hasrat seorang pemandu lori dan kelindannya untuk mendapat upah sebanyak RM70 bagi kerja-kerja menghantar 13 ekor lembu seludup yang dijadikan stok korban dari Tumpat ke Kota Bharu tidak kesampaian apabila mereka dicekup di Kampung Manan, Bunut Susu di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 9.30 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan pergerakan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan pada bahagian belakang kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 13 ekor lembu bernilai RM39,000 yang dipercayai untuk dijadikan stok korban sempena Hari Raya Aidiladha.

“Pemandu lori terbabit bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau kebenaran membawa haiwan berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati, kedua-dua lelaki itu mengambil kesemua lembu tersebut di Kampung Palas Merah, Telaga Bata dekat Tumpat untuk dihantar ke Binjai, Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, mereka turut memaklumkan akan menerima upah sebanyak RM70 bagi tugasan penghantaran tersebut.

Menurutnya, kesemua lembu itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui laluan yang tidak sah.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN