SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini wajar ditangguhkan susulan kos yang tinggi selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
Baginda bertitah, penangguhan itu juga dilihat lebih sesuai sehingga krisis Asia Barat selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam siap sepenuhya.
“Beta difahamkan peruntukan yang diperlukan adalah sangat tinggi.
“Dalam keadaan ekonomi semasa, beta berpandangan adalah lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya,” titahnya sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin menitahkan penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura pada 2026 dibatalkan.
Namun, baginda berkenan agar satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan melibatkan pelajar sekolah bawah umur 15 tahun antara daerah di seluruh Selangor.
“Ini sebagai usaha memupuk bakat muda dan menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi. Tambahan lagi bola sepak merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat Selangor,” titah baginda.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari mengumumkan temasya Sukma Selangor 2026 akan tetap berjalan mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini, namun dianjurkan pada skala lebih kecil susulan tekanan ekonomi semasa.
Keputusan diumumkan Mohamed Taufiq selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 di Kementerian Belia dan Sukan. – KOSMO! ONLINE














