KUALA LUMPUR – Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC) kini menambah satu lagi kemudahan riadah kepada tetamu dengan menyediakan gelanggang pickleball dan padel di aras sembilan hotel itu dengan persekitaran terbuka.
Berlatar belakangkan bangunan pencakar langit utama seperti Menara Tabung Haji dan berbumbungkan langit biru, gelanggang itu bakal memenuhi keperluan dan permintaan peminat sukan tersebut yang kini menjadi trend semasa.
Bagi usaha mengubah suai dan menaik taraf gelanggang tenis sebelum ini, pihak pengurusan hotel telah bekerjasama dengan Skycourt Kuala Lumpur dan Sport Town Sdn Bhd bagi menyediakan kemudahan bersukan untuk semua peringkat umur.
Pengurus Besar Perdana KLCC, Zakaria Ismail berkata, melihat trend sukan pickleball dan padel semakin meningkat, jadi ini adalah peluang bagi hotel untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurut beliau, terdapat dua gelanggang masing-masing untuk sukan paddleball dan juga padel.
“Ini adalah usaha kami untuk meningkatkan lagi pengalaman tetamu menyokong gaya hidup yang lebih sihat dan aktif.
“Fasiliti ini menawarkan pengalaman sosial dan sukan urban yang lengkap, bilik persalinan, surau dan juga kafe,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran gelanggang baharu itu di hotel baru-baru ini.
Kemudahan itu menawarkan kadar RM50 sejam pada waktu puncak dan RM40 sejam bagi waktu bukan puncak, manakala gelanggang padel berharga RM160 sejam ketika waktu puncak dan RM140 sejam pada waktu bukan puncak. -KOSMO! ONLINE














